Wednesday, February 16, 2011

7 Panduan Untuk Para Naqib

PANDUAN 1: MENGENALI AHLI USRAH DENGAN BAIK

Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan,   pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan,   kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih   berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.


PANDUAN 2: MELAKSANAKAN USRAH DENGAN RANGKA PROGRAM

Naqib mesti merangka program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk  slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal   semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga    perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca sebanyak mungkin bahan rujukan  yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.


PANDUAN 3: SEGARKAN USRAH DENGAN SUASANA PERBINCANGAN

Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan   perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas   yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti   semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

PANDUAN 4: BERTINDAK SEBAGAI PEMIMPIN TEMPAT BERNAUNG

Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan,  perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, di dalam atau di luar usrah. Naqib juga     perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal    seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.


PANDUAN 5: MEMBERIKAN KERJA KEPADA AHLI

Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai   apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh  naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih ramai orang dan sentiasa membina  hubungan dengan naqib.


PANDUAN 6: MEMPELBAGAIKAN KESAN SAMPINGAN

Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu  semasa.

6.2 Penyelesaian masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk  diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas   dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh   menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan  minat ahli-ahli usrah.

6.4 Berkhemah dan berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan      dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka      berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.


PANDUAN 7: MENULIS LAPORAN PENILAIAN

Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan,   potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen   daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen   itu, langkah pembetulan boleh dirancang dan dilaksanakan.



PENUTUP

Insya Allah, apabila berkesempatan nanti, saya akan berusaha menghuraikan setiap panduan ini. Saya bercadang    membuat huraian berdasarkan empat perkara iaitu ulasan am yang bertujuan mengukuhkan hujah penulis,    pelaksanaan panduan ini dalam usrah-usrah yang pernah saya sertai, cadangan meningkatkan pelaksanaan panduan    ini, dan soalan atau bahan rangsangan untuk perbincangan lanjut. Komen awal daripada anda sangat dihargai.


TAMBAHAN

 Petikan langsung: "Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan
banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri
sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan
dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa
yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya.

No comments:

Post a Comment