Wednesday, February 16, 2011

7 Panduan Untuk Para Naqib

PANDUAN 1: MENGENALI AHLI USRAH DENGAN BAIK

Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan,   pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan,   kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih   berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.


PANDUAN 2: MELAKSANAKAN USRAH DENGAN RANGKA PROGRAM

Naqib mesti merangka program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk  slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal   semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga    perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca sebanyak mungkin bahan rujukan  yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.


PANDUAN 3: SEGARKAN USRAH DENGAN SUASANA PERBINCANGAN

Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan   perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas   yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti   semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Monday, February 14, 2011

Siapalah Penyokongmu Untuk Gerak Kerja Islam Ini

 Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.” Dalam menyahut perintah ini, perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Musa ialah berdoa: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” [Taha 20:24-28]
          Doa yang dibacakan oleh Nabi Musa di atas kerap dibacakan juga oleh para penceramah supporting_kids.jpgsebelum mereka ingin memulakan kuliah. Ini adalah doa yang baik kerana sebagai penceramah, kita memang inginkan agar dapat bercakap secara jelas lagi lancar supaya difahami dengan tepat oleh para hadirin.
          Walaubagaimanapun doa di atas tidak terhad kepada urusan kuliah agama sahaja. Jika diperhatikan keseluruhan konteks doa, ia sepatutnya kita baca dalam pelbagai urusan lain. Kita berdoa dengan doa Nabi Musa ini agar dada kita lapang menjalani sesuatu urusan dan urusan itu pula menjadi mudah bagi kita. Dalam setiap urusan kita berinteraksi dengan orang lain, maka kita berdoa agar interaksi tersebut adalah jelas dan lancar supaya difahami oleh pihak terbabit.
          Di sebalik berdoa ini, terkesan satu pengajaran penting dalam tindakan Nabi Musa. Iaitu perkara pertama yang dilakukan apabila ingin melakukan sesuatu urusan ialah berhubung dengan Allah melalui doa. Ini menjadi peringatan kepada saya dan para pembaca sekalian kerana kerap kali kita terlalu fokus, terlalu bersemangat ke atas urusan yang ingin kita lakukan sehingga terlupa untuk berhubung dengan Allah. Padahal tercapai atau tidak, berjaya atau tidak urusan yang ingin kita lakukan itu bergantung kepada kehendak Allah jua.

Feb 2011: 14 Februari

Tarikh 14 Februari lazim dikaitkan dengan sambutan hari kekasih, atau masyhur disebut sebagai Valentine's Day. Sebahagian umat Islam turut menyambutnya, konon sebagai hari mereka menzahirkan kasih sayang, memperbaharui kasih sayang atau mengukuhkan semula ikatan kasih sayang yang telah luntur terhadap pasangan masing-masing. Agaknya apa dan bagaimana sejarah Valentine's Day ini? Marilah kita masuk sebentar ke dalam bilik kuliah sejarah.
Sejarah Valentine's Day.
lost_by_crowd.jpgDikatakan Valentine's Day merujuk kepada kisah seorang paderi atau wali Kristian yang berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Konon pada zamannya, pemerintah melarang lelaki dari berkasih sayang kerana memerlukan mereka sebagai tentera. Tentera hendaklah fokus kepada peperangan dan bukannya kekasih. Namun terdapat seorang paderi bernama “Valentine” yang melanggar perintah ini dan berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Dia ditangkap dan dipenjarakan, namun tetap meneruskan usaha menghubungkan kasih sayang ketika di dalam penjara. Akhirnya dia dihukum bunuh pada 14 Februari. Diriwayatkan bahawa sebelum hukum dijatuhkan, dia menulis sebuah kad kasih sayang yang dialamatkan kepada anak gadis orang yang memenjarakannya. Dalam kad itu tertulis: “From your Valentine”.
     Demikian cerita yang masyhur tersebar berkenaan asal-usul Valentine's Day. Walaubagaimanapun, pakar-pakar sejarah menyatakan tidak ada bukti kukuh untuk menyokong cerita tersebut. Dalam sejarah Kristian, terdapat tiga orang paderi yang bernama “Valentine”. Setiap mereka hidup pada tempat dan masa yang berlainan. Lebih penting, tiada apa-apa kisah “kasih sayang” yang secara khusus dapat dikaitkan kepada mereka. Konsep hari kasih sayang dan tarikh 14 Februari hanya bermula pada kurun ke 14 masihi, beratus-ratus tahun selepas ketiga-tiga paderi tersebut meninggal dunia.