Tarikh 14 Februari lazim dikaitkan dengan sambutan hari kekasih, atau masyhur disebut sebagai Valentine's Day. Sebahagian umat Islam turut menyambutnya, konon sebagai hari mereka menzahirkan kasih sayang, memperbaharui kasih sayang atau mengukuhkan semula ikatan kasih sayang yang telah luntur terhadap pasangan masing-masing. Agaknya apa dan bagaimana sejarah Valentine's Day ini? Marilah kita masuk sebentar ke dalam bilik kuliah sejarah.
Sejarah Valentine's Day.
Dikatakan Valentine's Day merujuk kepada kisah seorang paderi atau wali Kristian yang berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Konon pada zamannya, pemerintah melarang lelaki dari berkasih sayang kerana memerlukan mereka sebagai tentera. Tentera hendaklah fokus kepada peperangan dan bukannya kekasih. Namun terdapat seorang paderi bernama “Valentine” yang melanggar perintah ini dan berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Dia ditangkap dan dipenjarakan, namun tetap meneruskan usaha menghubungkan kasih sayang ketika di dalam penjara. Akhirnya dia dihukum bunuh pada 14 Februari. Diriwayatkan bahawa sebelum hukum dijatuhkan, dia menulis sebuah kad kasih sayang yang dialamatkan kepada anak gadis orang yang memenjarakannya. Dalam kad itu tertulis: “From your Valentine”. Demikian cerita yang masyhur tersebar berkenaan asal-usul Valentine's Day. Walaubagaimanapun, pakar-pakar sejarah menyatakan tidak ada bukti kukuh untuk menyokong cerita tersebut. Dalam sejarah Kristian, terdapat tiga orang paderi yang bernama “Valentine”. Setiap mereka hidup pada tempat dan masa yang berlainan. Lebih penting, tiada apa-apa kisah “kasih sayang” yang secara khusus dapat dikaitkan kepada mereka. Konsep hari kasih sayang dan tarikh 14 Februari hanya bermula pada kurun ke 14 masihi, beratus-ratus tahun selepas ketiga-tiga paderi tersebut meninggal dunia.